SEJARAH PENUBUHAN

     
           SEJARAH RINGKAS SMU(A) AL-YUNUSIAH


SMU (A) Al-YUNUSIAH didirikan pada tahun 1957. Sekolah ini dinamakan sempena nama Tuan Haji Yunus, seorang tokoh agama di Kampung Padang Bemban iaitu tapak sekolah ini mula-mula dibina. Sekolah ini diasaskan oleh Tuan Haji Yusoff bin Tahir iaitu cucu kepada Tuan Haji Yunus. Beliau berkelulusan Darul Ulum, Mekah. Atas kesedaran beliau dan penduduk Kampung Padang Bemban, maka sekolah ini didirikan. Pada tahun 1963, SMU (A) Al-Yunusiah telah dipindahkan ke Kampung Panjang, Banggu, Kota Bharu kelantan. Tuan Haji Yusoff Bin Tahir dan orang-orang kampung telah mewakafkan tanah mereka untuk menempatkan sekolah yang ada sekarang.

Pada awal penubuhannya, bangunan sekolah yang didirikan hasil gotong-royong penduduk kampung dan guru, hanya satu sahaja blok bangunan sepanjang 120 kaki. Kemudian ditambah pula 60 kaki. Bilangan pelajarnya seramai 50 orang termasuk lelaki dan perempuan. Tenaga pengajarnya seramai 3 orang termasuk guru besar. Guru Besar yang pertama ialah Tuan Haji Yusoff bin tahir. Hasil kutipan yuran sebanyak rm1.00 seorang dan sumbangan Tuan Haji Yusoff bin Tahir telah digunakan untuk membayar gaji tenaga pengajar di sekolah ini.

Pada tahun 1974, Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah mengambil alih pentadbiran sekolah ini dibawah JASA. Seterusnya pada tahun 1992, pihak YIK telah meluluskan pembinaan bangunan baru dengan kos pengurusan sebanyak RM30,000. Pada tahun 1994, kerjasama padu antara Jawatankuasa Sekolah, guru-guru dan penduduk kampung telah menghasilkan bangunan dua tingkat yang dapat menampung pertambahan pelajar dan keperluan sekolah.

Sejarah terus terukir pada tahun 2008, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). SMU (A) Al-Yunusiah bersama-sama dengan 19 buah sekolah ugama arab yang lain telah bersetuju bergabung dengan KPM untuk menaik taraf sekolah agama rakyat di Kelantan. Hasil daripada memorandum tersebut, sekolah ini kini berada di bawah pengurusan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Tahun demi tahun, perkembangan pembangunan sekolah semakin memberangsangkan. Penambahbaikan dibuat untuk keselesaan semua pihak. Pada tahun 2015, SMU (A) Al-Yunusiah mempunyai seramai 199 orang pelajar dan 29 orang tenaga pengajar yang berpengalaman. Pelbagai kejayaan ditempa. Semoga SMU (A) Al-Yunusiah terus mendapat tempat di hati masyarakat.

https://en.wikipedia.org/wiki/User:SMU(A)_AL-YUNUSIAH     

No comments:

Post a Comment